JDT, Kedah tentukan juara

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2019 8735
JDT, Kedah tentukan juara
Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah akan mencongak perhitungan dalam final Piala Malaysia selepas masing-masing mengungguli perlawanan separuh akhir kedua malam ini.

SELANGOR 0 JDT 3
(JDT ke final dengan agregat 5-1)


JDT mengaum di Stadium Shah Alam apabila skuad Harimau Selatan itu mengaibkan Selangor dengan kemenangan 3-0, dengan penyerang negara, Safawi Rasid, muncul watak utama kejayaan itu.

Safawi menjaringkan hatrik untuk menjinakkan skuad Gergasi Merah itu selepas mudah mengeksploitasi kelemahan benteng pertahanan lawan.

Lautan penyokong Merah Kuning tidak menggentarkan pemain berusia 22 tahun itu untuk membuka jaringan pada minit ke-25 apabila bijak meloloskan diri untuk menyudahkan hantaran terus Afiq Fazail.

Seminit selepas babak kedua bersambung, Safawi menggandakan jaringan menerusi corak permainan yang hampir 100 peratus sama dengan jaringan pertamanya, juga menerusi hantaran terus Afiq.

Penyerang kidal itu kemudian membuktikan betapa sentuhan kaki kirinya benar-benar berbisa apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-52, yang juga golnya yang ke-10 dalam Piala Malaysia musim ini.

PAHANG 5 KEDAH 5
(Agregat 8-8, Kedah ke final dengan kelebihan gol di laman lawan)


Perlawanan paling 'gila' musim ini dapat disaksikan di Stadium Darul Makmur apabila 10 gol terhasil sepanjang 120 minit perlawanan.

Siapa sangka keputusan 3-3 di Stadium Darul Aman minggu lalu, mampu berulang kembali untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Perlawanan bermula hangat sejak wisel permulaan dan Fernando Rodriguez terlebih dahulu meletakkan skuad Lang Merah itu di depan selepas menolak masuk hantaran jauh mengelirukan daripada ketua pasukannya, Baddrol Bakhtiar.

12 minit sebelum ke bilik persalinan, penyerang veteran Pahang, Dickson Nwakaeme, melakukan larian solo dari tengah padang untuk kembali mengikat kedudukan.

Empat gol lagi terhasil dalam babak kedua, bermula dengan jaringan Jonatan Bauman yang kembali meletakkan Kedah di depan pada minit ke-55 sebelum jaringan berganda Lazarus Kaimbi, masing-masing pada minit ke-72 dan 76, meletakkan Pahang di depan buat kali pertama.

Namun, gol sepakan percuma kontroversi Baddrol Bakhtiar yang dibenarkan pengadil, Suhaimi Mat Hassan, pada minit ke-85 membolehkan Kedah membawa permainan ke masa tambahan.

Aksi kian memuncak dalam 15 minit pertama masa tambahan apabila hanya tiga minit diperlukan Renan Alves untuk meletakkan Kedah mengatasi kelebihan jaringan laman lawan yang dimiliki Pahang sebelum Herold Goulon kembali menghidupkan perjuangan skuad Tok Gajah itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-114.

Rodriguez kemudian kembali meletakkan Pahang di ranjau berliku dengan jaringannya pada minit ke-118 sebelum Nwakaeme meraikan gol sagu hatinya pada penghujung aksi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen