JOHOR DARUL TA'ZIM 3 KEDAH 0

Skrip yang sama, jaringan berbeza.


Itu yang boleh diungkapkan buat Kedah selepas tewas 3-0 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Keputusan itu bermakna skuad Lang Merah itu gagal menebus kekalahan 2-0 yang dialami dalam final edisi 2017, di mana mereka tewas dengan keputusan sama di tangan JDT.

Jaringan dalam babak pertama oleh Leandro Velazquez dan penggempur Harimau Malaya, Safawi Rasid, serta tandukan Syafiq Ahmad selepas rehat membolehkan skuad Harimau Selatan itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia musim ini sambil menikmati gelaran berganda buat kali ketiga setelah melakukannya pada tahun 2016 (Liga Super dan Piala FA) serta 2017 (Liga Super dan Piala Malaysia).

Ketiadaan Renan Alves dan pemain paling banyak beraksi dalam kejohanan musim ini buat skuad Hijau Kuning, Rizal Ghazali, akibat penggantungan menyaksikan kepincangan ketara dapat dilihat di bahagian pertahanan Kedah.

Permainan lebih keras disaksikan di Bukit Jalil sehingga memaksa ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, membawa keluar Diogo Santo dan membawa masuk Syafiq Ahmad dan kemasukan bekas penggempur Kedah itu jelas menambah sengat Harimau Selatan di barisan depan.

Ruang yang terbuka bijak digunakan Velazquez yang tenang menyudahkan hantaran leret Gonzalo Cabrera untuk melepaskan tendangan kaki kiri menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-26 sebelum sepakan percuma Safawi Rasid menjadikan kedudukan 2-0, lapan minit kemudian.

Sepakan yang dilakukan dari penjuru petak penalti itu menyaksikan bola masuk ke gawang sebelum melantun keluar dan walaupun pemain Kedah cuba membantah, keputusan pengadil mengesahkan jaringan itu membolehkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul pemain paling banyak menjaringkan gol menerusi situasi bola mati dalam edisi kali ini.

Hanya satu ancaman yang dilakar Kedah dalam tempoh 45 minit pertama buat gawang kawalan Farizal Marlias tatkala sepakan percuma Baddrol Bakhtiar tepat ke dakapan penjaga gol kebangsaan itu tetapi anak buah Mora terus mengganas dengan gol ketiga menerusi Syafiq selepas 13 minit permainan bersambung menerusi tandukan.

Keampuhan barisan tengah JDT yang dikemudi kapten, Hariss Harun, jelas berada dalam kelas tersendiri sambil gandingan Baddrol, Edgar Bernhardt dan David Rowley buntu sehingga wisel penamat untuk meraih sekurang-kurangnya jaringan sagu hati.

Kredit foto: MFL