"JDT bukan kebal dan boleh ditundukkan," demikian laungan keyakinan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, apabila skuadnya melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

JDT mungkin memiliki reputasi besar dalam kancah Liga Super, namun untuk Piala Malaysia, Irfan menyifatkan ia sebagai satu saingan yang berbeza.

Pahang dan MISC-MIFA adalah antara pasukan yang pernah menjinakkan Harimau Selatan itu, justeru tiada yang mustahil untuk barisan pemain TFC melakukan perkara yang sama, ditambah beraksi di laman sendiri.

Turut menambah keyakinan Irfan adalah faktor hujan dan padang becak yang akan memberi kesan kepada corak permainan JDT ketika beraksi dalam keadaan sedemikian.

"Bagi saya, kami akan menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dan berasakan TFC mampu meraih keputusan yang positif," kata Irfan.

Bagaimanapun, TFC tidak dapat menurunkan khidmat pertahanan, Nasrullah Hanif Johan, kerana sudah mengutip dua kad kuning sebelum ini.

Dalam masa sama, barisan pemain TFC juga menyedari mereka tidak boleh bolos sebarang gol kerana ia bakal memberi kelebihan buat JDT apabila mereka berkunjung ke Larkin, 20 Oktober nanti.

"Saya berpendapat TFC perlu bersedia menghadapi sebarang cabaran untuk aksi ini dan berharap untuk meraih kemenangan yang berharga," kata kapten TFC, Tchetche Kipre.