Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais, menyifatkan pertemuan dengan Selangor di Stadium Selayang malam ini pasti sengit berdasarkan prestasi cemerlang kedua-dua pasukan.

Selangor dan JDT antara dua pasukan yang konsisten sejak liga bersambung bulan lalu dan masih belum tewas dalam lima perlawanan terakhir.

Morais menjangkakan pemain-pemain The Southern Tigers perlu melalui cabaran getir bertemu Selangor yang akan turun bermati-matian dalam usaha merampas kedudukan pendahulu Kumpulan D, Piala Malaysia.

"Selangor ternyata bermain cukup baik sejak kebelakangan ini dan mula mendapat rentak sejak liga bersambung, jadi kami tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka.

"Tambahan mereka beraksi di laman sendiri, namun kami tetap fokus dalam mencari tiga mata,” katanya.

Sementara itu, pertahanan JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq, sudah bersedia menghadapi cabaran yang bukan sahaja datang daripada pemain lawan tetapi penyokong Selangor.

"Berdepan mana-mana pasukan, kami tidak boleh mengambil mudah dan saya akan cuba memberikan yang terbaik buat JDT," katanya.

Pemain pertahanan JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq, memberi amaran kepada bekas pasukannya, Selangor, betapa JDT cukup serius dalam pemburuan Piala Malaysia, musim ini.

Biarpun Harimau Selatan sentiasa membuat rombakan kesebelasan pemain, Azrif menyatakan tiada istilah skuad utama atau kedua di JDT.

"Dalam pasukan JDT, tiada pasukan utama ataupun kedua.

"Sesiapa yang diturunkan, perlu berikan aksi terbaik dan 100 peratus."