JDT atur rancangan buat Arif Aiman, Ramadhan

Oleh Shaiful Shamsudin 7 November 2020 4963
JDT atur rancangan buat Arif Aiman, Ramadhan
Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak perlu tergesa-gesa untuk mengerahkan pemain muda seperti Arif Aiman Hanafi sebagai tonggak utama dalam masa terdekat. 

Pemain B-19 negara itu muncul penjaring termuda Harimau Selatan untuk diangkat sebagai wira menerusi gol tunggalnya ketika tuan rumah membenam Kuching FA, malam tadi. 

Lantas, penampilan keduanya musim ini mengundang pujian ramai berikutan aksi penuh meyakinkan yang ditonjolkannya di sayap kanan sebelum direhatkan dalam separuh masa kedua, tetapi ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, lebih senang untuk memperkenalkan anak buahnya itu secara berperingkat. 

"Dia sangat bijak, berbakat dan (merupakan) pemain muda. 

"Ini adalah normal daripada segi prestasi, maksud saya mereka mampu beraksi baik dan adakala tidak (tekal). 

"Saya tidak kisah mengenainya (ketekalan prestasi). Saya tahu dia ada kemahuan dan yakin untuk mempertaruhkannya. 

"Dia dan Muhammad Ramadhan Saifullah (seorang lagi bakat baru) akan digilirkan dalam usaha menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik dan aset JDT pada masa akan datang," katanya. 


 

📸 AKSI PERLAWANAN TM PIALA MALAYSIA - PUSINGAN PERTAMA JOHOR DARUL TA’ZIM 1-0 KUCHING FA KEDAH 3-2 PAHANG #TMPialaMalaysia2020

Posted by Malaysian Football League on Friday, November 6, 2020


JDT menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur, yang menerima laluan khas berikutan penarikan diri Sabah, dalam suku akhir maka dianggap berpeluang cerah untuk mempertahankan piala kejohanan tertua di Malaysia itu. 

Juara Liga Perdana, Pulau Pinang, UiTM FC dan Kelantan adalah pasukan berpotensi yang mampu menyekat kemaraan mereka di peringkat separuh akhir.

"Kalau saya selaku peminat, saya pasti mengharapkan untuk berdepan pasukan daripada Liga Super tetapi sebagai jurulatih pula, saya perlu melihat JDT dalam sudut berbeza. 

"Kami masih belum menghampiri kejuaraan pun, ini satu pertandingan yang sengit., semua pasukan mempunyai peluang sama rata," tambah jurulatih kelahiran Mexico itu. 

Sementara itu, jurulatih Kuching FA, Akira Higashiyama, masih pentas besar buat anak-anak buahnya tetapi berpuas hati dengan perjuangan musim ini. 

"Saya ada menyediakan beberapa taktik untuk menewaskan JDT tetapi jelas imaginasi saya terlampau tinggi.

"JDT sebuah pasukan hebat daripada Liga Super manakala kami bersaing dalam Liga Perdana. 

"Sasaran kami untuk layak ke Piala Malaysia sudah tercapai, ini satu detik yang baik buat kami.

"Apapun, kami sememangnya bertekad untuk menang malam ini," katanya dari Jepun itu. 

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen