Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim, menjelaskan agihan 30,000 keping tiket final Piala Malaysia diuruskan dengan baik oleh jawatankuasa pengurusan tiket yang dibentuk persatuan.

Hishamuddin menjelaskan sebanyak 8,000 keping tiket disediakan buat lapan persatuan bola sepak daerah, 7,000 kepada pasukan Terengganu FC (TFC), akademi, kelab penyokong, kelab belia serta kelab sukan yang memohon.

Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada agensi-agensi berkaitan kerajaan (GLC), pejabat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memperoleh sehingga 11,000 keping tiket keseluruhan.

"PBSNT juga mengagihkan 2,000 keping tiket kepada pihak penaja manakala baki 2,000 lagi dijual di kaunter tiket Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Presiden persatuan yang juga Menteri Besar menaruh kepercayaan kepada jawatankuasa ini dengan pengalaman mereka dan sebarang kelemahan akan diperbaiki di masa depan," ujarnya.

Sambil mengakui masih baru dalam pentadbiran PBSNT, Hishamuddin berkata jawatankuasa tersebut juga bertanggungjawab menguruskan agihan tiket melibatkan TFC di gelanggang sendiri serta di luar Kuala Terengganu, musim ini.

Kaedah pemberian tiket kepada persatuan bola sepak daerah juga, ujarnya, satu langkah produktif selepas menerima rungutan sebelum ini penjualan tiket tidak sampai ke seluruh negeri.

Sementara itu, Irfan Bakti Abu Salim disahkan akan terus membimbing TFC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2019 selain Tengku Hazman Raja Hassan (TFC II), Badrul Afzan Razali (TFC III) dan Subri Sulong (TFC IV).

"Beberapa pasukan sudah mula mengintai khidmat jurulatih dan pemain-pemain TFC, namun kami telah menyelesaikan pembentukan skuad 2019," katanya lagi ketika mengiringi skuad TFC di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)