Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan, mengingatkan anak buahnya supaya tidak termakan dengan perang psikologi Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini.

JDT menerusi laman sosial Johor Southern Tigers tampak tidak kisah jika keputusan malam ini tidak menyebelahi mereka.

Sebaliknya, mereka berbangga dengan pencapaian yang sudah dikecapi menerusi kejuaraan Piala Sumbangsih dan Liga Super musim ini.

Ia seolah-olah membayangkan perjuangan JDT sudah berakhir, namun Sathianathan menganggap tindakan JDT itu sekadar mainan psikologi.

"Kita jangan nak ikutlah apa yang mereka tulis dalam Facebook.

"Saya tahu, saya kenal TMJ (Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), kalau mereka sudah menang enam piala, yang ketujuh pasti lebih baik.

"Sebagai pasukan profesional, mereka akan turun dengan konsep mahu menang.

"Ia adalah DNA JDT, mereka mahu menang.

"JDT adalah pasukan terkuat dan mereka akan turun untuk menang," katanya.

Selangor dijangka akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utamanya selepas pemain sayap, Khyril Muhymeem Zambri, berkemungkinan tidak cukup cergas untuk diturunkan.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, beranggapan keyakinan yang dimiliki Selangor setelah meraih bekalan satu gol di tempat lawan adalah perkara biasa.

Dia tidak menganggap situasi itu sebagai petanda pasukannya akan tewas sebelum perlawanan, namun menagih komitmen setiap pemainnya untuk memastikan kemaraan ke final.

"Menjaringkan gol di laman lawan memberikan anda keyakinan.

"Kerana itu ia dikira jaringan berganda.

"Tetapi kami juga pernah menjaringkan gol di tempat lawan dalam liga dan kejohanan lain.

"Jadi, kami yakin kami juga boleh menjaringkan gol di tempat mereka," katanya

JDT, yang belum pasti dapat menurunkan penyerang utama, Diogo Luis Santo, dijangka akan mengekalkan barisan sama seperti perlawanan pertama minggu lalu.