Jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, menuntut anak buahnya agar menghapuskan badi kekalahan dengan Kedah apabila kedua-dua pasukan turun berentap buat kali kelima musim ini.

The Red Ants akan menerima kunjungan Kedah untuk perlawanan ketiga Kumpulan A, Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, esok.

Sememangnya, pertemuan itu akan menjadi peluang terbaik buat barisan pemainnya menebus kekecewaan gagal menjinakkan skuad Lang Merah itu sebelum ini.

Dalam empat pertemuan terakhir, mereka seri dua kali di tempat lawan dan tewas dua kali di laman sendiri yang membabitkan aksi Liga Super dan Piala FA.

"Saya mahu pemain sedar bahawa sebaik kami mendahului perlawanan, kami perlu beri lebih fokus, terutama di bahagian pertahanan," ujarnya.

Bekas pengendali Harimau Malaya itu, bagaimanapun, mengakui api perjuangan pemainnya kembali membara selepas mengakhiri rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan ketika menundukkan Negeri Sembilan 2-1 di tempat lawan, minggu lalu.

"Pemain-pemain menunjukkan kesungguhan dalam latihan.

"Mereka yakin untuk melakukan sesuatu ketika bertemu Kedah sebagai langkah penting untuk kami mara ke peringkat seterusnya," tambahnya.