Tonggak Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff, mengingatkan rakan-sepasukannya agar tidak leka dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Kuala Terengganu, malam esok.

Mengakui reputasi juara Liga Super itu antara yang terbaik di rantau ini, Malik berkata sebarang kelalaian TFC akan dihukum pihak lawan bermula dari wisel permulaan.

Justeru, pemain kelahiran Kuantan itu menuntut pemain yang diturunkan jurulatih, Mohd Nafuzi Zain, memberikan tumpuan sepanjang 90 minit permainan.

Apapun, Malik berpendapat kekuatan Harimau Selatan tetap mampu disaingi TFC sekiranya mereka dapat mengikuti segala arahan yang diberikan Nafuzi.

"JDT serba lengkap di semua posisi dan kami tidak boleh memberi terlalu banyak ruang kepada mereka.

"Namun, tiada yang mustahil kerana yang menentukan pasukan terbaik adalah aksi 90 minit di atas padang," jelas pemenang dua kali Piala Malaysia itu.

Nada sama disuarakan Nafuzi, yang menyebut tiga ramuan diperlukan skuad Peteh untuk memenangi aksi penting itu sebelum pusingan timbal balik minggu depan.

"Bagi komitmen 100 peratus, menang setiap perebutan bola dan jangan bagi pihak lawan selesa," ujarnya.

Jurulatih meningkat naik itu juga berkata tuan rumah perlu beraksi dengan kekuatan sendiri serta tidak terikut-ikut dengan rentak skuad Harimau Selatan itu.

"TFC tidak boleh lagi 'lambat panas' dan kalau boleh, minit pertama pemain-pemain dah boleh dapat kuasai permainan," tambah Nafuzi.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)