Irfan sedia ramuan berbeza hadapi Perak

Oleh Penulis Jemputan 27 Oktober 2018 407
Irfan sedia ramuan berbeza hadapi Perak
Jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, bakal mencanang pendekatan taktikal berbeza untuk aksi final Piala Malaysia menentang Perak malam ini tatkala Abdul Malik Mat Ariff tampak menjadi senjata rahsia skuad Peteh.

Irfan menampilkan percaturan pemain yang berbeza ketika aksi suku akhir bertemu Felda United dan separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ia membabitkan posisi tengah antara tiga pemain, iaitu Malik, Faiz Nasir dan Ashaari Shamsudin dan ramuan jurulatih berusia 67 tahun itu jelas menjadi pemangkin kejayaan pasukan itu ketika ini.

Kini, Irfan sekali lagi dijangka melakukan kelainan dalam formasinya bagi mencapai keputusan positif berdepan The Bos Gaurus di Shah Alam.

"Kami sudah melalui beberapa perlawanan di depan penyokong yang ramai, jadi sekurang-kurangnya sudah ada pengalaman untuk bermain dalam final.

"Saya juga telah memberitahu semua pemain saya, terutama tonggak import, bahawa persekitaran ini ibarat saingan Piala Dunia, cuma tahapnya berbeza. Mereka harus pandai menghadapi penonton," kata Irfan.

Berdasarkan kekuatan pasukan lawan, Irfan tampak mempertaruhkan pemain yang mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi seperti aksi final.

Situasi itu mungkin meletakkan Ashaari dan Malik sebagai pilihan kerana kedua-dua pemain itu pernah melakukan penampilan di pentas final Piala Malaysia.

"Ini adalah final ketiga bagi saya selepas melaluinya bersama Pahang pada 2013 dan 2014. Saya harap dapat tampil dengan aksi terbaik buat pasukan malam ini sekiranya diturunkan, tidak kira dalam babak pertama atau kedua," ujar Malik.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen