Pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan peluang seimbang dimiliki skuad bimbingannya, Terengganu FC (TFC) dan Perak menjelang aksi final Piala Malaysia, Sabtu ini.

Menurut Irfan, empat pertemuan TFC-Perak termasuk dua dalam peringkat kumpulan Piala Malaysia menyaksikan TFC merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan, sekaligus menggambarkan pertembungan epik di Stadium Shah Alam.

Persiapan TFC begitupun jelasnya cukup memberangsangkan sambil bekas jurulatih Felda United itu menjelaskan tiada pasukan akan turun selaku pasukan pilihan.

"Selepas keputusan positif dalam dua perlawanan terakhir dengan JDT, kami melangkah ke final dengan semangat yang positif.

"Malah, saya lihat semua pemain kini begitu bersemangat dan Terengganu sudah bersedia menghadapi Perak," jelas bekas pengendali Felda United itu.

Mengakui skuad The Bos Gaurus sebagai pasukan konsisten di bawah bimbingan Mehmet Durakovic, Perak sudah pasti menjanjikan saingan sengit dengan barisan pemain yang mantap.

Irfan berkata, kelibat trio kelahiran Brazil, Leandro da Silva, Gilmar Dos Santos serta Wander Luiz, perlu diberi perhatian selain bekas pemain T-Team, Nor Hakim Hassan, yang beraksi cemerlang.

Namun persiapan Sang Penyu juga tidak boleh diperlekehkan dalam penampilan final pertama dalam Piala Malaysia sejak 2011 -- juga di bawah kendalian Irfan -- dengan semua pemain bebas dari penggantungan dan kecederaan kecuali Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris.

"Kami mengharapkan tuah memihak kepada Terengganu selepas kecewa pada 2011 dan saya sendiri secara peribadi belum pernah mengucup Piala Malaysia," tambah Irfan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)