Sumpahan naib juara buat pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, terus berpanjangan apabila pasukannya gagal keluar sebagai pemenang dalam aksi final Piala Malaysia 2018.

Irfan melakukan penampilan keenam di pentas final saingan domestik sejak kali pertama dalam aksi akhir Piala FA, 18 tahun lalu.

Daripada enam perlawanan akhir, Irfan empat kali gagal menjulang pasukannya, termasuk aksi final Piala Malaysia semalam selepas tewas 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti tatkala aksi 120 minit berakhir dengan kedudukan 3-3.

Malah, badi naib juara itu juga menimpa Irfan dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana sewaktu bersama Felda United sebelum ini.

"Sebenarnya, secara jujur saya tidak berasa gementar untuk aksi malam semalam kerana sebelum ini juga saya melalui perlawanan yang sengit," kata Irfan.

"Namun, saya berhajat mencipta sesuatu buat Terengganu kerana dapat membawa mereka ke final. Laluan ke final sangat indah. Kami menewaskan Felda United dan Johor Darul Ta'zim (JDT). Ia sangat manis," tambah Irfan.

"Sepatutnya, kami mengakhirinya dengan gelaran juara tetapi seperti saya katakan tadi, nasib tidak menyebelahi kami. Nasib juga tidak boleh menjadi tempat bergantung tetapi aksi di penghujung saingan jadi penentu"

Kegagalan kali ini nyata paling pahit untuk ditelan Irfan kerana skuad kendaliannya mendahului dua kali tetapi dipadamkan dengan jaringan saat akhir, sekali gus menyaksikannya sekali lagi kempunan untuk meraih gelaran sulung Piala Malaysia selepas gagal tujuh tahun lalu sewaktu bersama pasukan sama.

Sementara itu, pertahanan import TFC, Igor Zonjic, memohon maaf kepada semua penyokong Terengganu kerana melakukan kesilapan menjaringkan gol sendiri.

Insiden itu jelas dilihat menjadi punca utama kekalahan Terengganu kepada Perak yang turut menyaksikan Zonjic gagal menyempurnakan sepakan penalti.

"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kami tewas dalam menang. Kami melalui perlawanan yang baik tetapi tidak bernasib baik," ujar Zonjic.

"Saya tidak dapat melihat bola itu datang ke arah saya. Saya rasa sangat teruk dan minta maaf kepada semua penyokong Terengganu."