Watak di sebalik tabir kehebatan Kedah selama dua musim ini, Stefano Impagliazzo, yang merupakan jurulatih kecergasan pasukan, menganggap pendekatannya dengan pemain-pemain seperti ayah dan anak menjadi kunci mengapa Lang Merah muncul antara pasukan yang mempunyai tahap kecergasan terbaik.

Impagliazzo dikenali antara jurulatih kecergasan yang cukup tegas dengan semua pemain.

Malah, dia dilihat sering menjadi orang paling bersemangat di atas padang ketika pemain memulakan latihan pemanas badan.

Sentiasa mementingkan ketepatan masa, dia yang mula diperkenalkan kepada skuad Kenari pada 2004 juga memastikan segala makanan tambahan yang dijadualkan akan diambil pemain.

"Saya perlu mengawal (pemakanan pemain) kerana saya bekerja dalam kumpulan kecil, iaitu seramai 27 pemain.

"Jenis makanan tambahan yang diambil mereka adalah berbeza," katanya yang berasal dari Brazil.

Dalam masa sama, dia berasa puas kerana sejak kehadirannya musim lalu, tiga trofi sudah berjaya didakap oleh pemain-pemain Kedah.

Impagliazzo berasa puas kerana hasil kerjanya diiktiraf pemain yang mengakui gembira selepas ia memberi impak tersendiri kepada prestasi masing-masing.

"Saya menyukai suasana di sini, penyokong dan peminatnya.

"Mereka memanggil saya bapa walaupun saya sudah tua, saya kini sudah berusia 70 tahun.

"Saya sukakan Kedah dan Malaysia. Terima kasih kepada Azraai Khor Abdullah (bekas jurulatih Kedah) yang membawa saya kembali ke sini.

"Terima kasih kepada pemain dan pengurusan juga."