Penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen, memberi bayangan aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir Piala Malaysia, Sabtu ini, bakal menjadi perlawanan perpisahan buatnya bersama skuad Helang Merah.

Penyerang berasal dari Denmark itu pernah mendedahkan melalui akaun media sosialnya akan meninggalkan Kedah pada penghujung musim walaupun menjaringkan 25 gol sepanjang tahun ini.

Dia enggan menceritakan rancangan masa depannya walaupun difahamkan telah meraih tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Malaysia, sebaliknya mahu fokus sepenuhnya terhadap final terlebih dahulu.

“Walau apapun terjadi, saya hanya mahu memberikan segala-galanya untuk pasukan, Sabtu ini.

“Jika perlawanan ini adalah aksi terakhir saya bersama skuad Kedah, saya mahu menikmati perlawanan yang hebat bersama rakan sepasukan. Kami melalui musim yang hebat bersama,” katanya.

Mengenai JDT yang akan dihadapi di pentas akhir, Ilso menyifatkan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan memandangkan keputusan dalam pertemuan terakhir sebelum ini berakhir seri.

Namun, dia yakin ada kelebihan tertentu yang akan memihak kepada Kedah bagi memastikan impian meraih trofi ketiga musim ini menjadi kenyataan.

“Setakat ini, saya telah menjulang kejuaraan Piala Sumbangsih dan Piala FA. Kali ini kami bertemu JDT, lawan yang sama ketika aksi Sumbangsih tetapi ia pastinya akan berbeza.

“JDT mempunyai kelompok pemain yang bagus dan saya gembira untuk menghadapi perlawanan ini,” tambahnya.