Ifwat laung kerjasama tinggi dalam pasukan Lang Merah  

Oleh Penulis Jemputan 26 September 2017 657
 Ifwat laung kerjasama tinggi dalam pasukan Lang Merah  
Penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, menganggap kemenangan pasukannya ke atas Selangor dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia kelmarin sebagai usaha sepasukan dan bukannya bergantung kepada kemahiran individu tertentu. 

Kedah mara selangkah lagi untuk mempertahankan gelaran Piala Malaysia menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Selangor di Stadium Darulaman untuk menang dengan agregat 4-2. 

Jaringan tunggal Sandro Da Silva menerusi sepakan penalti menjadi pemisah dalam pertemuan itu. 

Begitupun, Kedah juga perlu berterima kasih kepada ketangkasan Ifwat yang beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya lawan untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Bagaimanapun, Ifwat beranggapan semua unit skuad Lang Merah mempamerkan peranan masing-masing demi kejayaan mereka.

"Rakan-rakan saya bekerja keras tatkala Selangor mengatur asakan bertubi-tubi mencari gol di tempat lawan. 

"Saya puji rakan-rakan sepasukan kerana kami dapat bertahan selama 90 minit. 

"Gol kami (oleh Sandro da Silva) berjaya menyentak semangat pasukan lawan. 

"Begitupun, kami masih perlu meningkatkan kecergasan kami," katanya.

Aksi Ifwat itu turut disaksikan jurulatih penjaga gol skuad senior kebangsaan, Azmin Azram Abdul Aziz. 

Ifwat, yang berada dalam skuad B-22 negara mengecapi pingat perak dalam temasya KL2017, bulan lalu bagaimanapun mengakui masih banyak lagi yang perlu ditingkatkan dalam aspek permainannya andai ingin mengetuk pintu skuad senior kebangsaan. 

"Saya anggap itu sebagai rezeki. 

"Ia satu motivasi buat saya untuk saya meningkatkan lagi prestasi," katanya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen