Selepas membantu Perak merangkul Piala Malaysia, Idris Ahmad berharap kekal terus di Ipoh untuk mengharungi musim Liga M 2019.

Sejubungan itu Idris, 28 akan berjumpa kepimpinan tinggi Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dalam tempoh terdekat untuk mengadakan perbincangan.

Pemain yang lebih dikenali sebagai Wak di kalangan rakan sepasukan itu berkata sebelum ini dia menerima tawaran menyambung kontrak daripada majikannya itu tetapi meminta menangguhkannya kerana ingin menumpukan perhatian terhadap perlawanan akhir Piala Malaysia.

"Dah selesai semua tugasan bolehlah saya adakan perbincangan dengan PAFA.

"Jika boleh, saya mahu kekal di Perak lagi, " kata pemain kelahiran Selangor itu.

Menurut pemain pertahanan itu, dia seronok bersama pasukan Bos Gaurus berikutan semangat sepasukan dan hubungan erat di kalangan pemain dan pegawai pasukan.

"Kami memang seperti sebuah keluarga dan saling bantu-membantu.

"Semasa final Piala Malaysia baru lalu, kami ketinggalan di awal perlawanan gara-gara kesilapan saya tetapi tiada yang memarahi saya.

"Sebaliknya, rakan sepasukan memberi sokongan padu sepanjang perlawanan sehingga saya mendapat kembali keyakinan.

"Saya bersyukur kami berjaya juga akhirnya," katanya.

Apapun, keputusan Idris untuk kekal diyakini mempunyai kaitan dengan tindakan Mehmet Durakovic kekal bersama pasukan Yob itu.