Perak melaungkan amaran awal dalam saingan Piala Malaysia apabila mudah lolos untuk berhitung dengan Terengganu dalam suku akhir, sekali gus ulangan pertemuan edisi final 2018, minggu depan.

Pemain tengah The Bos Gaurus, Leandro Dos Santos, menjadi buah mulut dalam perlawanan kalah mati itu di Stadium Perak, Ipoh, selepas hatriknya menyingkirkan Kelantan United 4-0, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Brazil itu menggegar gawang skuad kendalian Nazrolerwan Makmor tersebut menerusi sepakan penjuru Firdaus Sayadi pada minit ketujuh.

Tiga percubaan menarik selepas itu membuktikan komitmen tinggi anak buah Mehmet Durakovic berkenaan untuk menokok jaringan dan usaha tersebut memberi pulangan menerusi kombinasi Shahrel Fikri Md Fauzi -- yang mengelirukan pertahanan pelawat dengan hantaran ke belakang -- sebelum Leandro melepaskan rembatan yang menembusi benteng terakhir Kelantan United, Syazwan Yusoff, buat kali kedua pada minit ke-21.

Tuan rumah belum mahu mengendurkan asakan apabila Leandro sekali lagi menjadi duri dalam daging seteru mereka itu dengan melengkapkan hatrik, tiga minit selepas rehat.

Walaupun ada usaha daripada wakil Liga Perdana itu untuk menggugat kubu yang diterajui ketua pasukan, Shahrul Saad, di samping Tarik Isic.

Careca, yang acap mengaturkan gerakan di bahagian serangan, kemudian menemui sentuhan penyudah pertamanya musim ini pada masa kecederaan untuk kedudukan 4-0.

"Kami tahu Perak sebuah pasukan yang baik. Mereka serasi di semua posisi.

"Saya gembira dengan pemain saya dalam babak kedua tetapi kami membuat kesilapan kecil. Inilah bola sepak dan apabila bertemu pasukan yang bagus, kami dihukum.

"Gol pertama itu mematikan rentak kami.

"Saya sudah berpesan kepada pemain-pemain bahawa Perak amat bagus dalam situasi bola mati.

"Kami tidak fokus, momentum kami terbunuh menerusi gol pertama dan kedua," kata Nazrolerwan.

Sekiranya terus diberi amanah pada musim depan, bekas pertahanan itu berhasrat mengukuhkan pasukan dengan kombinasi pemain muda selain khidmat import yang lebih bermutu.

"Kalau dikekalkan, saya mahu mengambil asing yang lebih bagus untuk membentuk pasukan.

"Saya akan kekalkan pemain yang komited dan pemain muda berbakat. Mereka masih boleh digilap dan saya harap mereka akan menyinar," tambahnya.



? AKSI PERLAWANAN TM PIALA MALAYSIA - PUSINGAN PERTAMA PERAK 4-0 KELANTAN UNITED FC #TMPialaMalaysia2020

Posted by Malaysian Football League on Saturday, November 7, 2020



Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Sang Penyu terpaksa berhempas pulas sebelum mengakhiri perjuangan pencabar Liga Super, Petaling Jaya (PJ) City, musim ini.

Sanjar Shaakhmedov meranapkan harapan skuad kendalian K. Devan itu untuk meneruskan kemaraan berbekalkan jaringan pada minit ke-37.

Pemain tengah dari Uzbekistan itu memotong hantaran Kim Bong-jin di depan gol sebelum menyudahkan peluang terhidang terbabit.

Kelab Pantai Timur itu dipaksa menyerap asakan bertali arus pencabar mereka tersebut yang hadir dengan reputasi empat perlawanan tanpa kalah.

Walaupun tidak berputus asa mengintai untuk menyamakan kedudukan, segala keringat yang dikerah masih belum mahu berpihak PJ City.

"Selepas tiga minggu berehat, ia tempoh yang lama untuk mendapatkan momentum,.

"Kami beraksi dengan penuh yakin kerana kami sedar mereka bertahan dengan baik, memiliki kelebihan fizikal.

"Kemenangan 1-0 sudah memadai buat kami," kata jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain.