Johor Darul Ta'zim (JDT) menambah koleksi trofi musim 2017 apabila dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia selepas mencipta kemenangan 2-0 ke atas Kedah di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Skuad Lang Merah, yang mempunyai pengalaman dalam final Piala Malaysia ketiga berturut-turut tidak mempunyai jawapan untuk menembusi gawang lawan biarpun mempunyai reputasi ampuh di barisan hadapan menerusi kelibat Sandro Da Silva yang merekodkan sembilan gol sepanjang kempen kali ini.

Sebaliknya, Harimau Selatan selaku juara Liga Super beroleh dua gol, masing-masing dalam setiap babak untuk memusnahkan impian lawan mereka untuk mengekalkan kejuaraan berprestij itu.

Tidak sampai tiga minit wisel ditiupkan, Stadium Shah Alam bergema dengan sorakan daripada lautan biru merah sebaik terpaan kepala Aidil Zafuan Abdul Radzak menerjah jaring Kedah apabila menyambut sepakan penjuru daripada Safiq Rahim.

Dengan penyerang utama JDT, Mohammed Ghaddar, diletakkan di bangku simpanan, Ahmad Hazwan Bakri membalas kepercayaan yang diberikan dengan memainkan peranan penting untuk mengucar-ngacirkan benteng lawan yang diterajui oleh Khairul Helmi Johari dan Zachary Anderson.

Peluang terbaik juara bertahan itu pada awal 45 minit hanya hadir ketika perlawanan masa kecederaan namun gerakan itu sudah dapat dibaca oleh penjaga gol, Ifzam Tarmizi, sebelum menuju ke bilik persalinan dengan statistik tujuh kekasaran daripada pihak Kedah manakala JDT, 10.

Kedah cuba memperkemaskan rentak dalam sisa babak seterusnya dan berhasil mengimbangi permainan. Bagaimanapun, palang gol menafikan hasrat Kedah untuk merapatkan jurang apabila tandukan Baddrol Bakhtiar digagalkan oleh palang gol pada minit ke-56.

JDT ternyata lebih bijak memanfaatkan peluang di depan gol apabila sentuhan klinikal Gonzalo Cabrera pada minit ke-63 untuk gol kedua perlawanan dengan Hazwan sekali lagi memainkan watak penting dalam pembikinan gol itu.

Berselang empat minit, tuah ternyata mencemburui Kedah apabila tolakan Baddrol tatkala pintu gol sudah terbuka luas sekadar singgah di tiang gol.

Kedudukan perlawanan terus kekal selepas perlawanan berlanjutan dalam tempoh empat minit masa kecederaan untuk Harimau Selatan membawa pulang Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada 24 tahun lalu.

Cabrera kemudian dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

"Kami melakukan segalanya untuk menang, kami sedar akan menghadapi sebuah pasukan yang hebat. Pemain menjalankan tugas dengan baik. Sepanjang 90 minit, kami mempunyai empat peluang.

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan," kata jurulatih JDT, Ulisses Morais.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Nidzam Adha Yusoff, mengakui gol awal menjejaskan rentak permainan mereka dengan berkata: "Gol awal memberi kesan kepada kami. Apapun, perlawanan seimbang, konsentrasi pemain juga boleh diambil kira."

Kredit imej: JOHOR Southern Tigers