Hafizul Hakim wira kebangkitan dramatik Perak

Oleh Penulis Jemputan 28 Oktober 2018 9905
Hafizul Hakim wira kebangkitan dramatik Perak
Perak dinobat juara Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final paling epik di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Perlawanan terikat seri 3-3 sebelum sepakan penalti itu yang menyaksikan Perak bangkit sebanyak dua kali untuk menjulang kejuaraan buat kali kelapan selepas kali terakhir menjulang trofi sama, 18 tahun lalu.

Aksi penuh mendebarkan itu turut berlangsung panas dengan kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain susulan dua layangan kad merah dalam babak kedua.

Terengganu memperoleh jaringan seawal minit pertama selepas Tchetche Kipre memanfaatkan kesilapan hantaran ke belakang pertahanan Perak, Idris Ahmad.

Penguasaan skuad Peteh berterusan selepas itu menerusi variasi percubaan bertali arus ke kubu lawan yang dijaga rapi Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Nasib seakan-akan tidak menyebelahi kem Perak apabila jaringan daripada Leandro Dos Santos dibatalkan pengadil perlawanan, Suresh Jayaraman, pada minit ke-35 setelah pengadil mendakwa pemain tengah itu mengasari penjaga gol Terengganu, Suffian Abdul Rahman, ketika cuba menanduk bola masuk.

Malang berganda menimpa Perak apabila Hafizul Hakim gagal menyepak kemas bola yang kemudiannya disudahkan Kipre untuk gol kedua Terengganu tatkala aksi berbaki tiga minit sebelum tamat babak pertama. Terengganu 2 Perak 0.

Gol yang dicari-cari Perak tiba di permulaan babak kedua sebaik Firdaus Saiyadi meledak jaringan dari sebelah kiri kotak penalti hasil lorongan Brendan Gan hanya seminit selepas perlawanan bersambung.

Suhu perlawanan selepas itu bertukar panas dengan tumpuan terarah kepada Suresh.

Penyerang Perak, Gilmar Da Silva, dilayangkan kad merah selepas dikesan menumbuk lawan pada minit ke-60 sebelum bintang Terengganu, Lee Tuck, menerima nasib sama kerana menyiku lawan dalam perebutan bola di udara, enam minit kemudian.

Bagaimanapun, Perak kembali mengikat kedudukan di penghujung masa sebenar perlawanan menerusi bekas pemain kebangsaan, Brendan, yang menyudahkan bola daripada situasi kelam-kabut di hadapan gawang Terengganu.

Aksi kekal rancak dalam masa tambahan menyaksikan beberapa siri percubaan daripada kedua-dua pasukan.

Berpunca daripada hantaran Ashari Samsuddin, pemain sayap Terengganu, Faiz Nasir, meledak gol ketiga untuk meletakkan pasukannya kembali mendahului.

Namun, Perak sekali lagi bangkit di minit terakhir masa tambahan selepas Igor Zonjic tertampan bola ke gawang sendiri untuk The Bos Gaurus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Hafizul Hakim muncul wira Perak sebaik dia menafikan dua sepakan pertama Terengganu sebelum Dos Santos memutlakkan kemenangan 4-1 Perak dan menebus kekalahan 17 tahun lalu di tangan lawan sama.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen