Pemain gantian, Hadin Azman, muncul penyelamat Felda United apabila jaringannya di lewat permainan membantu The Fighters mengikat Kedah 1-1 dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, semalam.

Perlawanan yang merupakan aksi ulangan separuh akhir Piala Malaysia 2015 itu menyaksikan skuad kendalian B. Sathianathan melayan kunjungan Kedah dengan misi meraih bekalan selesa untuk dibawa ke Alor Setar dalam aksi timbal balik.

Bagaimanapun, tuan rumah terlebih dahulu hampir dikejutkan pelawat, namun percubaan Ken Ilso berjaya diselamatkan Farizal Harun.

Felda kemudian bangkit memperkemaskan corak permainan dan peluang terbaik untuk membolosi gawang Kedah hadir ketika aksi berbaki seminit sebelum rehat tetapi rembatan Ifedayo Omosuyi tersasar.

Asakan Kedah membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti susulan Syazwan Zainon dikasari Safwan Hashim dan peluang itu berjaya dimanfaatkan Sandro Da Silva pada minit ke-59 untuk gol pertama perlawanan.

Tatkala Kedah sedang mempertahankan kedudukan, Felda berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-86 apabila sepakan sudut Wan Zack Haikal Wan Nor ditanduk masuk oleh Hadin dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

“Saya berpuas hati dengan dengan keputusan 1-1 kerana jika mereka boleh menjaringkan gol di sini, bermakna kami juga boleh mencatat jaringan ketika aksi pusingan kedua nanti,” kata Sathianathan.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain selepas menampilkan aksi mengikut perancangan yang dilakukan,” ujar pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff.