Pemangku ketua jurulatih Selangor, K. Gunalan, mengakui bukan mudah buatnya mengendalikan pasukan tatkala masalah dalaman pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masih belum terlerai.

Namun, sikap profesional pemain membolehkan Selangor tetap ke final Piala Malaysia buat kali ke-49.

Bagi Gunalan, ia penting buat pemain untuk tidak mencampuri masalah pihak pengurusan kerana sebagai pemain, tumpuan mereka harus diberikan kepada pasukan.

Gunalan gembira setakat ini pemain memberi reaksi positif terhadap saranannya sehingga berjaya ke aksi akhir Piala Malaysia musim ini.

"Bukan senang untuk saya sebagai jurulatih, saya berasakan pemain-pemain tahu apa yang berlaku dalam FAS. Dalam kempen Piala Malaysia ini, mereka betul-betul berikan tumpuan.

"Dengan motivasi daripada saya setiap kali kami turun bermain, bukan senang untuk kami meraih kemenangan 3-0 ketika bertemu T-Team di tempat lawan.

"Saya rasa mereka tahu, satu-satunya piala yang boleh mereka menangi tahun ini ialah Piala Malaysia, jadi mereka memberikan komitmen 100 peratus," ujarnya.

Dalam pada itu, kapten dan tonggak pertahanan Selangor, Shahrom Kalam, turut senada dengan Gunalan.

Bagi Shahrom, sebagai pemain mereka perlu bersikap profesional dalam apa jua situasi.

"Sebagai pemain, kami perlu sedar tanggungjawab kami sebagai pemain. Kami perlu melaksanakan kerja kami. Apa yang berlaku di luar padang, kami tidak perlu fikirkan tetapi apa yang penting adalah apa yang berlaku di dalam padang.

"Di dalam padang, kami perlu sedar komitmen kami, fokus kami dan tugas yang perlu kami lakukan," jelas Shahrom.