Pemangku ketua jurulatih Selangor, K. Gunalan, tidak menyembunyikan hasrat untuk menjadi pengendali tetap skuad Gergasi Merah, namun menyerahkannya kepada kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam menentukannya.

Bekas tonggak pertahanan Selangor dalam final Piala Malaysia 1995 hingga 1997 itu menjelaskan dia sudah melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun sebagai pemangku ketua jurulatih dengan membawa pasukan ke final Piala Malaysia, musim ini.

Dengan masalah dalaman dihadapi pengurusan FAS, tidak ramai menjangka Gunalan mampu membawa Selangor ke final. Bagaimanapun, jurulatih berasal dari Brickfields itu tetap berjaya.

Kini, Gunalan berharap FAS akan memberi penilaian sewajarnya terhadap pencapaiannya musim ini.

"Pihak pengurusan tahu apa yang saya telah buat selama ini. Bukan senang untuk saya mengambil alih tugas daripada Zainal (Abidin Hassan).

"Walaupun prestasi kami dalam liga terumbang-ambing, tapi dalam Piala Malaysia, kami telah memberikan yang terbaik.

"Saya harap pengurusan membuat keputusan terbaik demi masa masa depan saya dan pemain," katanya.

Fokus Gunalan kini lebih terarah kepada lawan dalam final pada 30 Oktober ini, Kedah, yang disifatkannnya sebagai pasukan berbeza berbanding musim lalu.

Apa pun, Gunalan komited dalam memastikan misi 34 bakal terlaksana musim ini.

"Kami seri 2-2 dalam pertemuan Liga Super di Stadium Selayang. Selepas itu, kami kalah 1-0 di Alor Setar.

"Kami sedar Kedah memiliki pemain import berbisa seperti Liridon Krasniqi, Shane Smeltz dan Thiago Augusto Fernandes.

"Tapi saya rasa pemain-pemain saya boleh mengekang mereka."