Jurulatih Selangor, K. Gunalan, menganggap dirinya cukup bertuah apabila muncul selaku pengendali skuad Red Giants yang berjaya bangkit daripada kesukaran untuk mempertahankan gelaran juara Piala Malaysia, Ahad ini.

Selangor melewati kontroversi berat membabitkan penamatan kontrak bekas jurulatih mereka, Zainal Abidin Hassan, pada Ogos lalu selain khabar angin yang turut merujuk kepada skuad Selangor berpecah kepada dua kem.

Kurang tiga bulan selepas isu itu menjadi perbualan hangat, Selangor cemerlang menafikan kemelut yang melanda mereka, dengan membuat penampilan yang cukup berkesan dalam saingan Piala Malaysia.

Hal ini melegakan Gunalan, yang tidak menafikan dia gementar untuk membawa pasukan gergasi itu ke pentas final buat pertama kali.

"Saya sangat gembira dan pemain-pemain memberikan kerjasama yang baik dengan saya sejak saya mengambil alih pasukan pada Ogos.

"Mereka bekerjasama dengan saya dalam saingan liga dan juga Piala Malaysia. Anda juga boleh saksikan sendiri ketika kami bertemu pasukan Johor Darul Ta'zim. Walaupun kami menurunkan pemain simpanan, mereka berjaya memberikan aksi yang terbaik.

"Kami juga tidak pernah mengalami kekalahan besar, hanya kekalahan tipis, jadi saya sangat gembira dengan sikap yang ditampilkan oleh pemain-pemain.

"Saya berharap mereka boleh mengekalkan sikap seperti itu sehingga Ahad," jelas Gunalan.

Dalam sesi latihan semalam, Andik Vermansah tidak bersama dengan skuad Selangor untuk menjalani latihan ekoran kecederaan ringan.

Namun, hal itu tidak menjadi masalah buat Gunalan yang menegaskan Andik bakal bersama pasukan untuk menjalani latihan dalam tempoh terdekat.

"Semalam dia mengalami sedikit kecederaan di kaki kirinya dan saya rasa kecederaan itu tidak serius. Dia akan menjalani latihan bersama pasukan esok kerana kecederaan yang dialaminya hanya kecederaan ringan."