Fitri, Akram bawa misi berbeza ke Shah Alam

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2017 2778
Fitri, Akram bawa misi berbeza ke Shah Alam
Dua pemain Kedah, Mohd Fitri Omar dan Akram Mahinan, yang belum pernah merasai nikmat menjuarai Piala Malaysia, turun dengan misi peribadi yang berbeza menjelang perlawanan akhir edisi 2017 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), esok.

Semakin menghampiri penghujung karier, mungkin aksi di Stadium Shah Alam akan menjadi kesempatan terakhir buat pemain berasal dari Sabak Bernam itu untuk menjulang Piala Malaysia buat dirinya.

Fitri pernah kecewa pada 2012 bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), membuatkannya tidak mahu pisang berbuah dua kali dan yakin keputusannya untuk bersama Kedah musim ini akan memberikan tuah tersendiri dalam kariernya.

"Ini kali kedua saya meraih peluang ke final dan jika diberikan kepercayaan oleh jurulatih, saya akan beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama di peringkat akhir.

"Ketika bersama ATM, saya hanya duduk di bangku simpanan," ujar Fitri.

Sementara itu, Akram tidak menyangka di kala usia sudah memasuki 24 tahun, dia berpeluang untuk mengharumkan nama pasukan negeri kelahirannya.

Anak jati Kulim itu memulakan karier selama empat tahun bersama JDT sejak 2013 dan dia tidak berkesempatan bersama Kedah kerana menyertai Harimau Muda selepas berada di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Sejak kecil, saya mengidamkan untuk beraksi mewakili Kedah dan akhirnya mendapat peluang pada usia 24 tahun.

"Mungkin semangat kali ini berbeza jika dibandingkan dengan pasukan kelab sebelum ini. Saya mengharapkan penutup yang lebih baik untuk 2017," kata Akram.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen