Dua tahun lalu, Firdaus Saiyadi sudah hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak selepas digantung ekoran gagal ujian doping, namun dia kini menjadi antara watak utama di sebalik kebangkitan Perak yang merintis laluan ke separuh akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Salah satu daripada dua jaringan Wander Luiz Junior ketika membenam cabaran PKNS 2-0 terhasil melalui hantaran yang diilhamkan Firdaus pada minit ke-57.

Kepuasan jelas terpancar buat pemain muda berusia 22 tahun itu apabila dia yang hampir berputus asa dalam kariernya mampu menyumbangkan sesuatu kepada pasukan.

Dia mengucapkan rasa bersyukur atas galakan ibu-bapanya yang berpesan jangan sesekali patah semangat untuk dia bangkit selepas digantung selama dua tahun lalu ekoran mengambil bahan terlarang, methamphetamine stimulant.

"Pada mulanya, saya sudah berputus asa dengan bola sepak tetapi jurulatih dan rakan-rakan tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.

"Usaha yang dibuat membuahkan hasil pada malam ini (tadi)," kata pemain tengah itu.

Dalam pada itu, kejayaan yang terukir di Stadium Shah Alam menjadi antara detik paling indah sepanjang Mehmet Durakovic mengendalikan Perak sejak dua musim lalu.

Walaupun mungkin sekadar mengulangi pencapaian musim lalu, Mehmet sudah mula menghidu kejayaan lebih besar sedang mengintai Perak jika terus konsisten.

"Anak buah saya telah meraih pencapaian yang memberangsangkan memandangkan kami tidak memiliki sebuah pasukan besar.

"Para pemain telah beraksi baik sepanjang tahun ini, saya sangat gembira dengan mereka," kata Durakovic.