Final Piala Malaysia 2017 dilabel sebagai pertembungan berprofil tinggi selain risiko pergaduhan di antara kedua-dua penyokong pasukan menjadi perkara utama yang dititikberatkan.

Tiada istilah ambil mudah dengan jumlah kehadiran seimbang penyokong Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam kerana segala kemungkinan mampu berlaku.

Biarpun amaran awal telah dikeluarkan, pihak keselamatan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menetapkan lapisan kawalan keselamatan dalam stadium dengan kekuatan seramai 1,500 anggota polis dari pelbagai cawangan dan bahagian.

"Saya penuh yakin kedua-dua penyokong pasukan ini profesional dan matang. Diharapkan mereka tidak menimbulkan sebarang provokasi.

"Namun begitu, pihak keselamatan tidak boleh mengambil mudah. Provokasi yang berlaku sebelum ini adalah sumbangan daripada segelintir penyokong, hanya beberapa orang yang mengganggu-gugat," kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat.

Pada masa sama, penetapan 10 gendang dan 20 batang panji dari setiap pasukan perlu melewati Aras 0 untuk melalui pemeriksaan polis terlebih dahulu.

Peningkatan kualiti tiket juga telah dibuktikan dalam perlawanan terakhir musim ini dan beberapa kelainan turut ditekankan bagi mengelak sebarang sindiket penipuan tiket.

"Kami ada tiga ciri keselamatan utama, pertamanya ialah imej hologram di tengah-tengah tiket, keduanya adalah imej timbul yang boleh dirasai dengan sentuhan, manakala (ketulenan tiket) boleh dikenal pasti di bahagian belakang tiket dengan menggunakan pengimbas.

"Pemeriksa akan menggunakan sinar lampau ungu untuk mengesannya," kata Ketua Pegawai Pengurusan Tiket Hotline, Datuk Zairul Ayu Ibrahim.