"Tewaskan PDRM", itu syarat yang perlu dilunaskan barisan Felda United andai berhasrat untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.

Terperosok di kedudukan tercorot Kumpulan D dengan kutipan empat mata, jurulatih Felda, Nidzam Jamil, masih meletak harapan untuk menyaksikan keajaiban selagi saingan peringkat kumpulan belum berakhir.

Bagaimanapun, The Fighters perlu memastikan kemenangan menjelang aksi dengan PDRM walaupun pertemuan pertama tempoh hari berakhir dengan kekalahan 4-3 di tangan skuad bimbingan E. Elavarasan itu.

"Kami perlu berdepan PDRM terlebih dahulu. Kami perlu meraih kemenangan ke atas PDRM dan Selangor untuk ke peringkat seterusnya. Saya mahu pemain-pemain beraksi tanpa tekanan dan menikmati saingan Piala Malaysia," kata Nidzam.

Pengendali berusia 39 tahun itu turut mengakui bahawa barisan pertahanan The Fighters bakal menghadapi tugas berat untuk menghalang jentera serangan PDRM yang diketuai Patrick Ronaldinho.

"PDRM memiliki penyerang yang tinggi dan kami mendahului 3-1 sebelum tewas dengan keputusan 4-3."