Faridzuean terkilan gagal bantu TRW di Likas

Oleh Farizal Yusoff 2 Oktober 2018 1548
Faridzuean terkilan gagal bantu TRW di Likas
Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Mohamad Faridzuean Kamaruddin, mengakui sepakan penalti yang diberikan pengadil merentap semangat perjuangan mereka dan menghancurkan harapan Kelantan untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Katanya, sepakan penalti pada minit ke-30 yang disempurnakan bintang import Sabah, Rodoljub Paunnovic, itu menjadi pemisah di antara TRW dengan skuad Sabah kendalian Jelius Ating dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Sabtu lalu.

"Kami terkejut apabila pengadil mendakwa bola terkena tangan pertahanan Kelantan, sekali gus memberikan sepakan penalti.

"Gol itu memberi lebih tekanan kepada kami biarpun jentera serangan berusaha mencari gol penyamaan," katanya.

Faridzuean yang juga pemain 'pinjaman' dari Melaka United (MU), memohon maaf kepada penyokong setia TRW atas kegagalan layak ke separuh akhir sambil mempertahankan mereka sudah memberikan yang terbaik.

"Mungkin rezeki tidak bersama Kelantan kali ini. 

"Semua pemain telah berusaha untuk mengatasi Sabah di Likas tetapi mereka kental bertahan untuk mengekalkan jaringan melalui sepakan penalti itu," katanya.

Ditanya mengenai kontraknya yang bakal berakhir November ini, Faridzuean mengakui sudah 'dirisik' Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetapi memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan.

"Memang ada tawaran daripada Kelantan dan beberapa pasukan lain yang berminat menggunakan khidmat saya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Biar saya berbincang dengan KAFA dahulu dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada media nanti," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen