Pengendali Perak, Mehmet Durakovic, tidak rela peluang untuk menamatkan badi final selama 11 tahun disia-siakan barisan pemainnya tatkala mereka bertandang ke Stadium Likas menentang Sabah dengan membawa kelebihan besar menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia 2018, malam ini.

Sudah lebih sedekad Perak tidak berjaya ke pentas akhir Piala Malaysia, dengan kali terakhir mereka melakukannya pada tahun 2007, namun tewas 0-3 kepada Kedah.

Kini selepas 11 tahun, mereka mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan itu, apatah lagi skuad Seladang kini mempunyai kelebihan aggregat 5-0 ke atas Sabah hasil kemenangan dalam separuh akhir pertama 7 Oktober lalu.

Durakovic tetap berwaspada menjelang perlawanan malam ini dan dan mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak leka ketika beraksi.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar tetapi jika Perak dapat mempamerkan aksi yang konsisten, kemenangan mampu dilakar," kata Durakovic.

Turut sama mengidamkan aksi final pertama dalam kariernya bersama skuad Perak adalah tonggak pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim.

Nazirul adalah antara tonggak yang masih kekal sejak 2016, bersama rakan sepasukan, Shahrol Saad, begitu juga penjaga gol utama, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Baginya, ini adalah musim terbaik buat Perak setakat ini setelah berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekali gus mendapatkan slot beraksi dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC tahun depan.

"Perak telah lama tidak beraksi dalam aksi final Piala Malaysia. Ini merupakan peluang Perak untuk kembali merebut gelaran itu," kata Nazirul.

Imej: Asiana