Satu mata. Itu sahaja yang diperlukan Perak ketika bertemu Sabah di Stadium Likas, malam esok untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dari Kumpulan C.

Di atas kertas, ia nampak mudah dan mampu digapai pasukan The Bos Gaurus yang ketika ini menduduki tangga kedua kumpulan dengan lapan mata.

"Seri sudah memadai dan jika menang bonus," kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

Namun, beliau enggan bersikap terlalu yakin menyedari Sabah bukan calang-calang pasukan.

"Bertemu Sabah tidak pernah mudah. Musim lalu kami seri 2-2 di Likas dan saya menjangkakan suasana kali ini juga sama.

"Pemain Perak tidak boleh bersikap sambil lewa dan perlu fokus sepenuhnya terhadap perlawanan.

"Sabah sudah membuktikan kehebatan mereka dengan menumpaskan Pulau Pinang baru-baru ini," kata Durakovic.

Jurulatih itu berkata Perak masih tidak dapat menurunkan Raianderson Da Costa Morais yang masih merawat kecederaannya.

Justeru, Durakovic mahu menunggu hingga ke saat-saat akhir sebelum menamakan kesebelasan permulaan Perak.