Selepas tiga tahun lalu membawa Selangor menjulang Piala Malaysia, kini Mehmet Durakovic sekali lagi merencanakan ramuan sama untuk membawa Perak pula ke pentas final Piala Malaysia bagi mengulangi imbauan aksi final edisi 2001 di antara Perak dan Terengganu.

Ini merupakan kejayaan Durakovic buat kali kedua sebagai jurulatih membawa pasukan mara ke peringkat akhir Piala Malaysia selepas meraih kejayaan itu bersama Selangor pada 2015.

Kini bersama skuad The Bos Gaurus, beliau berpeluang untuk memahat satu lagi pencapaian setelah barisan pemainnya unggul mengatasi Sabah di Likas dengan agregat 7-2, malam tadi

Di bawah kendalian Durakovic, Perak musim ini sudah pun menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua selain menempah slot kelayakan Liga Juara-Juara Asia musim depan.

"Selangor telah memberikan kenangan indah untuk saya tetapi kini bersama Perak, fokus saya adalah berusaha untuk memenangi Piala Malaysia bersama mereka," kata Durakovic.

"Durakovic adalah seorang jurulatih yang berkualiti," kata penyerang Perak, Gilmar da Silva.

"Beliau merupakan seorang pengendali yang sangat memahami apa yang diperlukan pemain dan berjaya mengatur strategi yang berhasil untuk pasukan," kata penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Sementara itu, skuad Sabah akur apabila laluan mereka tersekat di peringkat separuh akhir meskipun cuba menampilkan kebangkitan di laman sendiri.

Sabah masih boleh berbangga dengan pencapaian menjadi satu-satunya wakil daripada Liga Perdana muncul empat pasukan terbaik dalam kancah Piala Malaysia musim ini.

"Apa sahaja keputusan dalam perlawanan ini, kami menerimanya secara terbuka," kata jurulatih Sabah, Jelius Ating.

Imej: Asiana