Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, kecewa apabila skuad The Bos Gaurus sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Pulau Pinang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Perak, semalam.

Dia berkata Perak sepatutnya memenangi perlawanan itu dengan mudah jika deretan peluang yang diperoleh berjaya disempurnakan sebagai jaringan oleh jentera serangan.

"Secara jujurnya, kami sepatutnya jaringkan tiga atau empat gol dalam separuh masa pertama dan beberapa peluang lagi yang diperoleh dalam separuh masa kedua. Namun, itu tidak berlaku.

"Bagi saya, kami tidak boleh lakukan kesilapan sebegini, terutama dalam kejohanan seperti Piala Malaysia, kerana tidak banyak perlawanan yang akan diharungi untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Perak diperoleh melalui pemain import Brazil, Ronaldo Henrique, pada minit ke-11 manakala gol Pulau Pinang disempurnakan Anselmo Casagrande pada minit ke-63.

Mengulas pertemuan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 24 Ogos ini, pengendali dari Australia itu berkata meskipun ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar, namun itu bukan alasan untuk pasukannya menyerah kalah.

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, berkata dia gembira pasukannya berjaya mengikat Perak yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia.

Dia gembira pemainnya menunjukkan semangat juang yang tinggi meskipun terpaksa mengekang asakan pasukan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan.

"Dalam separuh masa pertama, pemain nampak sedikit gemuruh. Namun, selepas itu ketika dalam bilik persalinan, saya beritahu mereka supaya bermain sebagai satu pasukan dan kena pastikan bermain dengan baik untuk sekurang-kurangnya bawa pulang satu mata," katanya.

Selain itu, dia optimis anak buahnya mampu melakar kemenangan ke atas Perak pada 24 Ogos ini berdasarkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Untuk perlawanan selepas ini, mungkin akan ada pertukaran formasi dan ia bergantung kepada kondisi pemain. Kami ada kelebihan bermain di tempat sendiri untuk dapatkan tiga mata, sekali gus layak ke suku akhir," katanya.

-- BERNAMA

Kredit foto: MFL