Dua 'samurai' Kuching sedia kejutkan JDT

Oleh Muzaffar Musa 5 November 2020 5854
Dua 'samurai' Kuching sedia kejutkan JDT
Ibarat samurai terakhir, Kuching FA bersedia untuk berjuang sehingga ke keringat penghabisan dengan harapan dapat mencipta kejutan ke atas juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Ketua jurulatih, Akira Higashima, mahu pasukannya menerapkan gaya bola sepak ala Jepun dan enggan anak buahnya tewas sebelum berjuang sebaik mungkin.

"Kami amat bertuah (dapat bertemu JDT) dan saya amat teruja," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Kerana kami sudah bersedia untuk bersaing dengan JDT.

"Benar, saya mempunyai sedikit pengalaman tetapi sebagai jurulatih, saya amat yakin.

"Saya berkongsikan falsafah dan kisah saya kepada pemain dan saya fikir mereka baik-baik sahaja.

"Saya berbangsa Jepun, saya tidak akan mengaku kalah. Saya bekerja keras setiap hari dan mungkin kebanyakan pemain sudah faham dengan falsafah saya. Mungkin 99.9 peratus daripada mereka.

"1 peratus lagi akan dapat dilihat malam esok," katanya.

Turut senada dengan Higashima adalah pemain tengah dari Jepun, Yuta Suzuki, yang mahu pasukannya memberikan sedaya upaya menerusi penampilan pertama mereka dalam kejohanan bola sepak tertua negara itu.

"Saya berasa gembira kerana mereka (JDT) pasukan terbesar di Malaysia.

"Jadi, ia akan menjadi pengalaman terbaik buat kami dan saya berasa amat bertuah dan gembira.

"Kami bukanlah kelab besar dan kami tiada pemain bintang seperti JDT.

"Jadi, Kami perlu bersatu untuk berjuang dan melakukan hantaran pendek kerana itulah kekuatan terbesar kami.

"Sudah pasti kami akan mencuba untuk memberikan yang terbaik dan menewaskan JDT.

"Kami menghormati mereka tetapi kami perlu berjuang," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen