Pengendali Selangor, K. Gunalan, menyifatkan dua jaringan awal memberi kelebihan kepada pasukannya untuk menguasai perlawanan, seterusnya mara ke final Piala Malaysia selepas mengatasi T-Team 3-0 di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Percaturan saya adalah untuk mengelak daripada dibolosi pada 20 minit pertama tetapi apa yang terjadi ialah yang lebih baik, kami menghasilkan dua gol dalam tempoh itu dan ia menyuntik semangat pemain-pemain.

“Mereka tahu strategi yang diperlukan dan pada saya, pemain-pemain telah melakukan apa yang dirancang dengan baik sekali,” kata Gunalan.

Perlawanan malam tadi menyaksikan Selangor hanya memerlukan dua minit untuk melebarkan kelebihan agregat menerusi R. Gopinathan yang menyempurnakan hantaran ketua pasukan, Andik Vermansyah, dari sebelah kanan.

Pada minit ke-18, pemain pertahanan, Ugochukwu Ukah, menggandakan jaringan hasil tindakan susulan selepas percubaan awal Patrick Ronaldinho ditepis penjaga gol T-Team sebelum Andik menambah derita tuan rumah pada masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan agregat 5-1.

“Kami tidak boleh membenarkan T-Team untuk mendapatkan jaringan kerana mereka hanya memerlukan satu gol

“Itu yang menjadi rancangan pasukan lawan dan selepas mendahului dua gol, kami semakin tenang, kemudian gol ketiga tercipta dan ia cukup menggembirakan saya.

“Malah, barisan pertahanan beraksi dengan baik walaupun ada ketikanya pasukan lawan berjaya menembusi dan membuat percubaan tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati.

“Pengalaman yang dimiliki majoriti pemain senior yang beraksi dalam final tahun lalu juga memberi kelebihan kepada kami.

“Saya berterima kasih kepada pemain-pemain dan barisan kejurulatihan kerana telah berjaya melangkah ke final, seterusnya mengulangi aksi tahun lalu,” tambah Gunalan.