Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, pening dalam menentukan kesebelasan utama pasukannya menjelang perlawanan menentang Kedah dalam separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur malam esok.

Selepas mengikat skuad Lang Merah itu 3-3 dalam perlawanan pertama di Stadium Darul Aman minggu lalu, Pahang tidak memiliki sebarang pemain dalam senarai kecederaan dan penggantungan.

Ia memberikan Dollah banyak pilihan untuk mengatur pemain yang akan memulakan perlawanan di gelanggang sendiri itu.

Biarpun lega dengan perkembangan itu, kesungguhan yang ditunjukkan setiap pemain membuatkan Dollah pening kepala untuk memilih gandingan terbaik yang akan diturunkan.

"Kesemua pemain tidak mengalami kecederaan, semua sudah pulih.

"Ini yang menjadi masalah buat saya untuk memilih pemain bagi kesebelasan utama," katanya.

Sembilan pemain Pahang dilayangkan kad kuning dalam perlawanan terdahulu, namun kesemua mereka dapat diturunkan dalam aksi di Kuantan itu.

Dollah tidak mahu memikirkan segala risiko yang ada kerana keutamaannya ketika ini adalah untuk memastikan Pahang ke final.

"Memang saya tidak mahu memikirkan tentang kad kuning.

"Apa yang sedang saya fikirkan sekarang adalah kami hendak layak ke perlawanan akhir.

"Dalam perlawanan akhir nanti, barulah kami akan tengok kembali keadaannya.

"Apa yang penting, kami mahu memastikan kemenangan buat pasukan," tambahnya.