Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, menyifatkan Piala Malaysia sebagai medan untuk anak buahnya menunjukkan belang sebenar, selepas mengharungi pelbagai dugaan, termasuk krisis kecederaan, sepanjang musim ini.

Pahang bakal bertemu lawan yang sama ketika saingan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu, Kedah di mana mereka tewas secara agregat selepas perlawanan berakhir dengan keputusan 8-8.

Mengharungi musim yang mengecewakan bagi tahun 2020, ditambah dengan masalah kecederaan membelenggu setiap perancangannya, Dollah berharap sesuatu dapat terhasil buat mereka dalam saingan Piala Malaysia.

"Daripada permulaan musim, persiapan kami terganggu dengan beberapa tonggak khidmat seperti Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh sementara masalah kecederaan turut menghimpit Pahang," kata Dollah.

"Tetapi kini Pahang lebih seimbang dan mana-mana pemain yang cedera telah pulih sepenuhnya."

Biarpun sering dilabel sebagai pasukan yang bergantung kepada Dickson Nwakaeme, Dollah berpendapat bahawa senjata utama Pahang, menjelang perlawanan menentang Kedah, adalah barisan pemain muda yang kini menjadi nadi skuad Tok Gajah.

"Sememangnya aksi sengit sering kali terhasil ketika bertemu Kedah, tetapi saya percaya Pahang kelihatan lebih bersedia berbanding sebelum ini.

"Saya berasakan kami lebih memberikan tumpuan kepada kekuatan seluruh pasukan dan latihan yang dilakukan sejak dua minggu yang lalu dan prestasi pasukan kelihatan semakin meningkat."