Dollah Salleh mnyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dalam menentukan kedudukannya sebagai ketua jurulatih Tok Gajah musim depan.

Selepas meninggalkan Pahang sejurus menjulang Piala Malaysia 2013, bekas pengendali kebangsaan tersebut kembali menerajui pasukan berkenaan empat tahun kemudian dan sepanjang tempoh itu, beliau berjaya membantu meraih Piala FA pada 2018.

Bagaimanapun, selepas menyudahkan Liga Super musim ini di tangga kelapan sementara kempen Piala Malaysia berakhir seawal pusingan pertama apabila kecundang 2-3 ketika menyambut kunjungan Kedah malam tadi, posisi kerusi panas itu masih menjadi teki-teki pada musim depan.

"Ia sudah lumrah (jawatannya) sebagai pemain dan jurulatih.

"Saya tiada kekhuatiran," katanya dalam sidang media sejurus perlawanan di Stadium Darulmakmur.

Pemain import yang pernah membantu pasukan merangkul Piala Malaysia dan Piala FA 2014, Dickson Nwakaeme, pula mengucapkan perpisahan selepas dua musim kembali ke Pahang.

Dalam laman sosialnya, Orang Besi, yang gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk merapatkan jurang dengan Lang Merah di kedudukan 1-3, mendedahkan malam tadi merupakan khidmat terakhirnya bersama pasukan itu.