Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, mendedahkan disiplin tinggi dan pendekatan falsafah tersendiri menjadi faktor utama kecemerlangannya untuk menjulang Piala Malaysia 2016.

Malah, ia membawa makna yang cukup besar buat Cheng Hoe dengan angka 90 sebagai tuah untuk meraih kejuaraan itu selaku pemain dan jurulatih.

Meskipun baru dua setengah musim mengendalikan pasukan, Cheng Hoe sudah membuktikan magisnya antara jurulatih tempatan terbaik.

Ia menerusi kejayaan singkat Kedah menjuarai Liga Perdana 2015 dan meraih tempat ketiga Liga Super serta kejuaraan Piala Malaysia, musim ini.

Malah, dalam tempoh dua musim di bawah bimbingannya, Kedah tidak pernah terlepas aksi di peringkat tertinggi saingan Piala FA mahupun Piala Malaysia.

Sememangnya, ia satu pencapaian luar biasa oleh Cheng Hoe dengan kejayaan manis di Shah Alam malam tadi, membolehkannya merasai piala berprestij itu selepas tahun 1990 ketika beraksi sebagai pemain.

"Sebagai pemain pada 1990, saya memenangi Piala Malaysia, iaitu kejuaraan Piala Malaysia pertama untuk Kedah. Malam ini, ia sekali lagi datang.

"Mana-mana kejayaan memerlukan disiplin yang tinggi. Selain bekerja keras, kami juga mempunyai falsafah dan cara permainan kami. Kami nampak akan ada pemain-pemain muda yang menyerlah pada masa akan datang."

Bekas penolong jurulatih negara ini, bagaimanapun, belum dapat menentukan masa depannya bersama Lang Merah dengan kontraknya berakhir November ini.

"Saya memang ingin bersama Kedah untuk dua, tiga tahun lagi.

"Kami tahu perjalanan ini, kami nampak pemain-pemain mudah beraksi dengan baik dengan adunan yang baik," katanya.

Skuad Lang Merah meraih gelaran juara buat kali kelima selepas menewaskan penyandang juara, Selangor, 6-5 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi final.

Pada era 90-an, peminat sukan bola sepak pastinya masih mengingati impak yang diberikan pasukan negara jiran, Singapura.

Bagaimanapun, Kedah menewaskan Sang Singa dua kali, dengan kemenangan 3-1 pada 1990 turut disumbangkan jurulatih semasa, Cheng Hoe.

Tahun 2007 dan 2008 pula antara zaman kegemilangan Lang Merah, di mana kemenangan ke atas Perak dan Selangor, menyaksikan Kedah merekodkan kejuaraan 'treble'.

Rekod kejuaraan Kedah

Tahun Lawan Keputusan

2016 Selangor 1-1 (penalti 6-5)

2008 Selangor 3-2

2007 Perak 3-0

1993 Singapura 2-0

1990 Singapura 3-1