Kapten Pahang, Matthew Davies, tidak mahu rakan sepasukan berasa terlalu selesa susulan kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur, Kuantan, kelmarin.

Davies antara pemain yang memainkan peranan penting dengan merekodkan satu go, selain mencipta peluang buat Wan Zaharulnizam Zakaria menyudahkan jaringan.

Kelebihan itu amat besar buat Pahang tetapi Davies masih berwaspada dengan kemampuan Perak dalam perlawanan timbal balik Sabtu ini, apatah lagi lawan mereka itu juga mempunyai rekod yang baik di Ipoh.

"Mereka agak agresif tetapi kami mengekalkan ketenangan di gelanggang sendiri. Ia adalah keputusan yang baik tetapi agak kecewa kerana terlepas satu gol pantas.

"Kami agak gementar pada separuh masa pertama dan kami lebih baik pada separuh masa kedua. Kami bermain agak cemerlang untuk mencari peluang dan berada dalam keadaan baik untuk beraksi dalam perlawanan timbal balik," katanya.

Ketika Davies memuji persembahan rakan sepasukan, lain pula kisahnya dengan pemain Perak, Mohd Nasir Basharuddin.

Dia mengakui Perak "terperangkap" dengan corak permainan lawan sehingga membuat kesilapan mudah yang tidak sepatutnya berlaku.

Malah, ketinggalan dengan tiga jaringan memberi laluan sukar untuk mereka bangkit dalam separuh masa kedua.

Begitupun, Nasir tetap yakin pertembungan di Stadium Perak nanti menjanjikan suasana berbeza bagi Perak mencari peluang untuk menebus kekecewaan.

"Kami tewas di sini disebabkan kesilapan kami sendiri. Kami terlampau melayan provokasi pasukan lain sehingga hilang fokus. Dalam masa lima minit, mereka meraih tiga gol.

"Kami perlu memperbaiki kesilapan, harus kekalkan kembali fokus dan kembali ke dalam perlawanan," katanya.