Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Darren Lok, bertekad memberikan aksi terbaik kepada pasukannya walaupun jika hanya diberikan seminit untuk beraksi dalam final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Darren sememangnya berdepan persaingan sengit untuk berada dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan, terutama selepas sandaran utama jentera serangan pasukan itu diletakkan di bahu penggempur import, Mohammed Ghaddar.

Namun, susulan aksi tidak menentu Ghaddar, pemain skuad Harimau Malaya kelahiran England itu tampak berpeluang untuk melakukan penampilan sulungnya di pentas final Piala Malaysia.

“Semestinya saya mahu beraksi dalam setiap perlawanan tetapi saya akui kehebatan Ghaddar.

"Sekiranya saya diberi peluang, saya akan berusaha memberikan aksi terbaik,” katanya.

Darren menjadi pilihan kedua pengendali, Ulisses Morais, mengetepikan seorang lagi penyerang JDT, Ahmad Hazwan Bakri, tetapi bekas pemain kelab England, Eastbourne Borough FC, itu mengakui cabaran berbeza menanti skuad Harimau Selatan dalam merebut kejuaraan kali ini.

“Perlawanan kali ini pasti akan menjadi sengit tetapi saya tidak nampak sebarang alasan untuk kami tidak mempamerkan gaya permainan yang sering kami lakukan,” tambahnya.