Penyerang Kedah, Sandro Da Silva, menganggap kekecewaannya gagal beraksi dalam final Piala Malaysia musim lalu terbalas kali ini selepas dua jaringannya mengesahkan kelebihan agregat 3-1 Kedah ke atas Felda FC untuk mengisi slot perlawanan akhir, 4 November ini.

Da Silva berkongsi rasa betapa dia melewati waktu paling manis ketika ini selepas berjaya membantu pasukannya untuk menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final.

Tegasnya, untuk kejayaan ini dia mengharungi tempoh waktu yang sukar demi memastikan Kedah bukan sekadar menggalas nama-nama besar tetapi turut memiliki kualiti luar biasa.

"Saya berpuas hati kerana saya bekerja keras setiap hari untuk menunggu hari ini. Saya mengucapkan tahniah kepada setiap pemain, tahniah kepada peminat kerana memberi sokongan kepada kami.

"Perlawanan malam ini (kelmarin) sangat sukar. Saya memberi peningkatan dalam setiap perlawanan. Saya menghadiahkan dua gol ini untuk keluarga dan penyokong," katanya.

Beraksi tanpa kelibat dua teman rapatnya, Liridon Krasniqi dan Ken Ilso, amat sukar buat Da Silva, namun dia tidak boleh mengalah dengan keadaan ketika ramai pihak menaruh hasrat besar untuk melihatnya membantu Kedah.

Ternyata keazaman Da Silva bukan sekadar omong kosong, hasilnya dia kini sudah mengumpul sembilan jaringan selain berharap mampu mengulangi kejayaan muncul selaku penjaring terbanyak seperti dua musim lalu.

"Pada tahun ini, saya mencuba tetapi sasaran utama saya memberikan trofi untuk Kedah. Jika kami menghadiahkan trofi dan menjadi penjaring terbanyak, ia baik untuk saya.

"Saya bermain untuk pasukan. Jika saya menjaringkan dua gol, sudah tentu ia baik untuk saya. Pada musim 2015, saya muncul penjaring terbanyak dalam Piala Malaysia, pada tahun lalu saya tidak bermain tetapi kali ini saya akan cuba," katanya.

Perlawanan akhir di antara Kedah dan JDT akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada 4 November ini.