Juara bertahan, Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan T-Team, 2-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.

The Red Giants dikejutkan dengan gol pembukaan oleh T-Team apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti susulan Sapawi Rasid dikasari Bunyamin Umar.

Penyerang import, Patrick Cruz menyempurnakan sepakan tersebut disaksikan 10 ribu penyokong setia Selangor di minit ke-22.

Bagaimanapun, Ahmad Hazwan bakri beri kelegaan kepada kem Selangor bila berjaya menyamakan kedudukan di hujung babak pertama sebelum tonggak pertahanan, Ugo Ukah meledak gol kemenangan 10 minit sebelum berakhir perlawanan.

Sementara itu, pengendali Selangor, K. Gunalan akui perubahan taktikal memasuki babak kedua memainkan faktor penting dalam menghadirkan bekalan satu gol untuk menghadapi T-Team dalam aksi separuh akhir kedua pada 15 Oktober ini.

""Separuh masa kedua kami menukar corak permainan dan beraksi dengan lebih agresif. Tetapi peluang yang hadir selepas itu gagal dilunaskan.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan dua gol dijaringkan," jelasnya.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan turut mengakui corak agresif Selangor mendatangkan masalah di separuh masa kedua sehingga mengganggu rentak anak buahnya.

"Separuh masa pertama kami bermain dengan corak permainan yang biasa kami terapkan dalam perlawanan lain sebelum ini.

"Tetapi di babak kedua, kami mula menghadapi masalah apabila Selangor memberikan tekanan besar kepada pemain saya."