Tan Cheng Hoe mahu mencipta kenangan tersendiri membawa Kedah mara ke pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama untuk dirinya selepas tidak dapat berbuat demikian musim lalu.

Musim lalu, pengendali sementara, Ramon Marcote, dipertanggungjawabkan mengendalikan skuad Lang Merah di peringkat suku akhir dan separuh akhir susulan ketiadaan Cheng Hoe yang menghadiri kursus kejurulatihan di China.

Bagaimanapun, umpama dianugerahkan sekali lagi peluang kedua, Cheng Hoe yang kini akan berada di tepi padang mahu anak buahnya meneruskan momentum mereka.

"Pemain perlu meneruskan keyakinan dan momentum mereka. Tahun lepas, saya tiada di peringkat suku akhir dan separuh akhir kerana terlibat dengan kursus kejurulatihan di China.

"Tahun ini, saya dapat bersama mereka dan saya harap mereka sekali lagi dapat ke final kerana penyokong setia kami mahukan pasukan ini dalam final.

Ditanya sama ada pemburuan gol awal menjadi misi utama berdepan PDRM dalam pertemuan separuh akhir kedua esok, Cheng Hoe berkata: "Bagi saya, yang penting kami tidak bolos.

"Ramai yang bertanya kepada saya sama ada kami akan menerapkan corak bertahan tetapi pada saya, mustahil untuk bertahan selama 90 minit. Saya hanya mahu pemain meneruskan permainan seperti biasa."

Musim lalu, Kedah berjaya melangkah ke final selepas menewaskan Felda United dengan agregat 4-3 dalam separuh akhir.

Namun, harapan untuk menjulang trofi Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2008 tidak kesampaian apabila tewas 2-0 dalam final berdepan Selangor.