Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, melahirkan kelegaan apabila kapten, Khairul Helmi Johari, akan kembali memperkuatkan pasukan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Helmi, 28, terlepas dua perlawanan terakhir Kedah ekoran kecederaan, dengan membabitkan perlawanan separuh akhir kedua bertemu PDRM pada 15 Oktober dan aksi Liga Super menentang Felda United, Jumaat lalu.

Kembali menyertai latihan penuh skuad Lang Merah hari ini, Cheng Hoe mengakui khidmat pemain pertahanan itu amat ditagih dalam usaha menyelamatkan gawang pasukan, Ahad ini.

"Perkembangannya nampak positif setakat ini. Kami perlu lihat dalam latihan empat lima hari lagi. Kalau boleh, saya nak dia pulih 100 peratus untuk perlawanan penting final nanti.

"Pada pertengahan musim, kami nampak dia bermain dengan begitu cemerlang dan dapat mengemudi barisan pertahanan dengan baik," kata Cheng Hoe.

Apa pun, persiapan Kedah untuk aksi final kali ini jelas lebih mantap berbanding musim lalu.

Tahun lalu, bekas penolong jurulatih kebangsaan ini tidak dapat membuat persediaan pada aksi final kerana mengikuti kursus kejurulatihan di China dan hanya kembali pada aksi final yang menyaksikan Kedah tewas 0-2 di tangan Red Giants.

"Tahun lalu, pada suku akhir dan separuh akhir, saya tidak bersama dengan pasukan, tetapi sepanjang tahun ini saya bersama mereka.

"Cuma bezanya tahun ini, saya bersama pasukan sejak dari peringkat kumpulan sampai final. Saya harap ia sedikit-sebanyak menjadi motivasi untuk perlawanan akhir nanti," tambahnya.