Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, menyifatkan kehilangan fokus di benteng pertahanan menjadi faktor utama Helang Merah melepaskan satu gol penting dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia ketika mengalahkan PDRM 2-1 di Stadium Darulaman, malam tadi.

“Kecewa apabila benteng melakukan kesilapan mudah sehingga membolehkan PDRM mendapatkan sepakan penalti.

“Sepatutnya, selepas kami mendahului melalui sepakan penalti Thiago Augusto, pemain boleh bertenang dan dapat menyerap segala asakan lawan.

"Namun, sebaliknya yang terjadi apabila benteng agak tertekan dan memberikan gol mudah (penalti) kepada lawan,” katanya.

Ditanya mengenai kemenangan tipis sebagai bekalan untuk dibawa ke Stadium Hang Jebat nanti, Cheng Hoe menyifatkan pemain-pemainnya sudah memberikanyang terbaik bagi mencari kelebihan jaringan dan berjanji akan membaiki segala kelemahan yang ada.

‘Pemain sudah memberikan segala yang termampu untuk memenangi perlawanan malam ini (tadi). Kami tahu kualiti pemain yang ada pada PDRM cukup baik dan mampu sekat kami untuk mencapai kemenangan.

“Menang 2-1 sudah cukup sebagai bekalan untuk bermain timbal balik di Stadium Hang Jebat nanti.

"Gol (di tempat lawan) yang mereka dapat memang penting. Saya rasa mereka akan turun dengan corak serangan yang lebih hebat untuk memadamkan kelebihan yang kami ada,” katanya.

Dalam perlawanan menarik malam tadi, Kedah bermula garang apabila penyerang importnya, Thiago Augusto, menyudahkan sepakan penalti setelah dia dijatuhkan pertahanan PDRM, Mohd Eskandar Ismail, pada minit kelapan.

PDRM menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula, pada minit ke-10 hasil kesilapan pertahanan Kedah, Bang Seung-hwan, mengasari Christopher Keli.

Liridon Krasniqi menggamatkan lebih 25,000 penyokong setia Helang Merah apabila menjaringkan gol kemenangan melalui sepakan penalti pada minit ke-78, menewaskan penjaga gol PDRM, Mohd Haziq Nazli.