Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, enggan menjadikan isu penghijrahan mempengaruhi fokus anak-anak buahnya untuk menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Isu penghijrahan pemain sememangnya tidak pernah lekang ketika menuju penamat musim dan sudah pasti, ia situasi memuncak buat pasukan seperti Kedah apabila mempunyai misi penting untuk dilunaskan.

Tatkala beberapa tonggak utama Kedah cuba dipancing pasukan lain untuk saingan musim depan, ini peringatan Cheng Hoe kepada pemain-pemain:

"Pemain-pemain perlu berfikir sebagai pemain profesional, mereka perlu menjalankan tugas dengan baik jika mereka mendapat tawaran yang lebih bagus daripada pasukan Kedah.

"Apa yang penting dalam final, mereka perlu menunjukkan satu prestasi yang terbaik kerana bukan setiap tahun mereka mendapat peluang bermain dalam perlawanan akhir."

Jelas, komitmen tinggi pemain kini dituntut untuk menebus kehampaan tahun lalu setelah tewas 0-2 dalam aksi final kepada Selangor.

Namun, Cheng Hoe mengakui ia bukan tugas mudah apabila skuad Red Giants bakal menampilkan barisan yang berbeza dan telah mempamerkan peningkatan sejak peringkat suku akhir.

"Sedikit kerisauan kepada kami, terutamanya mengenai pemain Selangor seperti Andik (Vermansyah), Hazwan (Bakri) dan Gopinanthan kerana mereka merupakan tonggak utama pasukan.

"Selain itu, Selangor juga mempunyai pemain seperti Ugo (Ukah) yang merupakan tonggak utama pertahanan."