Selain pasukan yang bertanding, pemain ke-12 juga tidak ketinggalan mempersiapkan diri masing-masing untuk pertembungan final impian Piala Malaysia 2017.

Menggelarkan diri mereka The Boys of Straits (B.O.S), selaku penyokong setia Johor Darul Ta'zim (JDT), mereka sudah tidak sabar untuk mengiringi perjuangan JDT di Shah Alam, Sabtu ini.

B.O.S yang akan menghimpunkan seramai 4,000 ahlinya kini giat melakukan persiapan di markas mereka yang terletak di Stadium Larkin.

Setiap daripada mereka mempunyai peranan masing-masing untuk persediaan menyiapkan kerja-kerja akhir dalam usaha menghangatkan suasana perlawanan akhir.

"Kami sedang membuat persiapan dengan menetapkan semula dram, yang kendur kami tegangkan. Ia perlu diperbetulkan untuk dibawa ke final nanti supaya bunyinya lebih baik," kata salah seorang ahli B.O.S.

Membabitkan ahli dari 10 daerah di Johor, satu kumpulan dari utara, Pantai Timur dan Singapura, B.O.S mahu menampilkan elemen kejutan kepada penyokong dan pemain di stadium nanti.

"Kali ini, kami ada lagu baru. Kini persiapan kami lebih kepada persiapan di dalam Stadium Shah Alam dengan melibatkan 30,000 penyokong JDT," kata jurucakap B.O.S, Farahin Johar.