Penyerang import Kedah, Shane Smeltz, tetap menganggap aksi final Piala Malaysia sebagai pentas istimewa buat dirinya meskipun pernah beraksi di pentas lebih besar, iaitu kejohanan bola sepak teragung, Piala Dunia.

Smeltz merupakan anggota skuad Piala Dunia New Zealand pada 2010.

Sudah pasti, itu menjadi pencapaian tertinggi dalam kariernya sejak bergelar pemain bola sepak profesional pada 1999.

Beraksi dalam Piala Malaysia, penyerang berusia 35 tahun ini mengakui ia menghadirkan keterujaan berbeza buatnya, apatah lagi bakal membuat penampilan sulung di pentas final.

“Ia amat penting buat saya, saya sangat gembira beraksi di pentas final, tidak kira walaupun hanya Piala Malaysia kerana ini merupakan perlawanan yang sangat besar buat perkembangan saya serta pasukan ini,” jelasnya.

Smeltz berjaya membentuk gandingan ampuh bersama Thiago Augusto Fernandes sejak memperkuat jentera serangan Lang Merah pada pertengahan musim.

Meledak sembilan gol, bekas pemain Sydney FC dan Wellington Phoenix ini bertekad membantu pasukannya mengakhiri penantian lapan tahun menjulang kejuaraan.

“Saya sangat teruja menantikan perlawanan ini, saya baru tiba di Malaysia dan beraksi dalam final, saya mahu memenangi perlawanan ini bersama Kedah.”