Belum pun sepak mula perlawanan, kempen Piala Malaysia musim ini sudah diselubungi kontroversi, keputusan daripada undian kejohanan tertua di Asia Tenggara itu dianggap tidak seimbang sehingga mengundang rasa tidak puas hati sesetengah jurulatih dan pemain.

Keputusan undian Piala Malaysia yang diadakan semalam mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak tanahair.

Ini apabila lima pasukan handalan Liga Super yang juga bekas juara Piala Malaysia terpaksa berdepan satu sama lain seawal pusingan 16 akhir dalam laluan ke final.

Manakala, empat daripada lima pasukan Liga Perdana diundi di bahagian kiri sekali gus menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan bertemu pasukan bukan pilihan dalam laluan ke final.

"Saingan di sebelah kiri kelihatan lebih mudah berbanding di sebelah kanan memiliki barisan pasukan daripada Terengganu, Kedah dan Selangor -- agak sengit lah," kata penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi.

"Memang saya melihat agak sukar buat kami tetapi setiap pemain dapat memberikan yang terbaik untuk Perak."

"Saingan Piala Malaysia adalah pertandingan yang disertai 16 pasukan dan kami mahu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan saya bimbang seri aksi final tidak akan kelihatan," jelas penyerang Pahang, Faisal Halim.