Bahagian tengah nadi kekuatan Kedah

Oleh Shaiful Shamsudin 28 Oktober 2016 5
Bahagian tengah nadi kekuatan Kedah
Naib juara Piala Malaysia tahun lalu, Kedah, bakal mempertaruhkan kekuatan di bahagian tengah sebagai senjata utama ketika menentang Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini. 

Kombinasi bahagian tengah skuad Lang Merah tampak paling konsisten sepanjang saingan musim ini. 

Ditunjangi Liridon Krasniqi selaku arkitek pasukan, Amirul Hisham Awang Kechik, Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon membentuk gandingan mantap sebagai satu unit. 

Malah, kelibat Halim Shaari dan Farhan Roslan juga mampu menjadi pilihan terbaik jurulatih, Tan Cheng Hoe, untuk aksi berdepan Selangor. 

"Kami mempunyai pemain yang bagus di dalam kesebelasan utama dan juga di bangku simpanan. 

"Halim dan Amirul masih muda dan prestasi mereka boleh berkembang lagi, begitu juga dengan saya. Sebab itulah saya berasakan kami mempunyai bahagian tengah yang mantap. 

"Tidak kira siapa yang akan diturunkan nanti, mereka pasti akan berikan aksi terbaik," kata Krasniqi ketika ditemui menjalani latihan di Stadium Darulaman. 

Mengimbas pertemuan final tahun lalu, bahagian tengah Kedah gagal berfungsi baik kerana didakwa dipengaruhi faktor cuaca. 

Justeru, Krasniqi berharap keadaan padang akan lebih baik kali ini dalam memastikan impian kejuaraan milik Kedah tercapai. 

"Bagi sesetengah orang, perlawanan ini bukan mengenai misi membalas dendam. Tetapi bagi saya, ini perlawanan membalas dendam. 

"Kalau keadaan padang tidak berada dalam keadaan baik, ia akan menyukarkan kami.

"Persiapan dan mentaliti pemain kini dalam keadaan baik dan harmoni untuk perlawanan akhir kali ini," tambahnya.

Kedah antara pasukan tertua di arena bola sepak negara dengan rekod kejayaan melangkah ke final Piala Malaysia sebanyak 12 kali.

Empat daripadanya berkesudahan dengan keputusan positif, di mana kali terakhir mereka dijulang sebagai juara pada edisi 2008. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen